Home » » CAHAYA MATA HATI

CAHAYA MATA HATI

Written By NurulHuda on Selasa, 21 Juni 2011 | Selasa, Juni 21, 2011


Ketahuilah olehmu bahawasanya nafsu itu atas tiga bahagi iaitu

Amarah
Lawamah dan
Muthomainnah.

Maka nafsu Lawammah itu iaitu nafsu Haiwaniah (kebinatangan) yang mengekalkan bagi segala syahwat dan nafsu Amarrah itu iaitu nafsu Syaithoniah (keiblisan) yang mengerasi atasnya kasih segala Mukholafat(sesuatu yang menyalahi perintah Allah) dan nafsu Muthomainnah iaitu nafsu Aqliyah(bersifat keruhhan) yang telah suci daripada segala kekeruhan; maka terangkatlah daripadanya segala hijab(sesuatu yang mendindingi)
Setengah ulama daripada golongan “ahli suluk” seperti yang tercatat dalam Kitab Sirras Salikin; mengkelaskan bahagian nafsu yang ada pada seseorang itu kepada 7 jenis iaitu;Ammarah
Lawammah
Mulhimmah
Muthommainnah
Rodhiah
Mardhiah dan
Kamaliah.

Tetapi sesetengah ahli lebih suka membahagikan jenis-jenis nafsu itu kepada tiga bahagian sahaja.

Nafsu Lawammah dikaitkan dengan sesuatu sifat jiwa manusia yang lebih banyak kecendurangannya kepada sifat-sifat untuk memenuhi keperluan lahiriah sahaja. Sama halnya dengan sifat-sifat binatang yang hanya memikirkan tentang makan, minum, jimak berenak-enak dan bersenang lenang dengan dunia sekelilingnya sahaja. Manusia seperti ini, tidak pernah memikirkan tentang alam lain dan keperluan-keperluan ruhaniah mereka malah mereka hanyut dengan kekalutan dunia yang fana ini.

Pentakrifkan perihal Nafsu Amarrah pula dengan sesuatu sifat manusia yang dibayangi oleh feel kelakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan. Keperihalannya adalah berkisar kepada penderhakaan kepada hukum dan perintah Allah serta RasulNya. Manusia jenis ini bertindak mengikut kerakusan nafsunya tanpa memperhitungkan soal halal haram, sah batal , wajib haramnya. Mereka sebenarnya adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Angkuh sombong, perosak, penindas, pemfitnah, pentingkan diri dan kedudukan, dan lain-lainnya kemungkaran.

Nafsu Muthomainnah mengikut pandangan hamba pula ialah merujuk lepada keperihalan satu golongan manusia mukmin yang Sholeh, yang telah dihidupkan ruhnya, yang dengan pancaran Nurnya dapat memberikan kesan dengan menerbitkan sifat dan peribadinya yang tinggi, yang dapat memandang ke alam tinggi, yang hidup cahaya mata hatinya untuk melihat sesuatu yang ghaib, mengenal sesuatu dengan rasa dan zauk,. Jiwa ini adalah jiwa yang telah bebas dari kurungan nafsu syahwat dan penjara kemanusian yang terbang bebas dengan sayap ruhnya yang bermakrifat ke alam yang haq dan hakiki. Dengan sebab itulah, hamba mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya;.

“Maka cahaya mata hati itu iaitu Nurul Aqliyah yang menunjukkan kepada Iman yang memandangkan ia(Nurul Aqliyah) akan dikau akan hampirnya (Allah) daripadamu hingga engkau lihat bahawasanya Haq Taala itu terlebih hampir kepadamu daripada urat tengkuk. Maka tidalah sah bagi maksiat kerena engkau ketahui dengan kenyataan atasmu.”.

Kalam hikmah di atas cuba mengutarakan apa itu yang dimaksudkan dengan cahaya mata hati. Cahaya mata hati ini adalah Nurul Aqliyah yang mentahqiqkan kepercayaan seseorang kepada seluruh perkara yang meliputi hakikat Iman berdasarkan ilmu pengetahuan. Guru suluk semasa menjelaskan pengertian Nurul Aqliah menggunakan rangkaikata “rahsia sifat Ilmu” . Ini adalah bersandarkan kepada fahaman bahawa dengan ilmu sahaja seseorang itu tidak mampu untuk mempercayai sesuatu yang ghaib malah ada di antara mereka yang mengingkarinya. Tetapi bagi seseorang yang mempercayai akan kebenaran; keadaannya adalah berlainan. Bila kepercayaan kepada ilmu tadi telah diteguhkan dengan terbukanya penglihatan batin(Ilmu Yakin) lantaran telah bersih dari segala kekeruhan, maka terlihatlah kepadanya kebenaran ilmu tersebut. Akan terhurailah kepadanya rahsia-rahsia sifat ilmu yang didapatinya dengan melihat dan memandang akan kebenaran hakikat bagi ilmu yang diyakininya. Maka cemerlanglah hatinya dengan Nurul Aqliyah yang dapat meyakini dengan melihat bahawa Allah itu di atas sesuatu Maha Meliputi hatta diri dan perasaannya terlalu dekat dengan kewujudan Allah. Manusia yang melihat dengan Nurul Aqliyah ini sama sekali tidak akan terjerumus ke dalam dosa dan maksiat kerana pandangan mereka sentiasa melihat Allah itu sentiasa memerhati dan mengawasi setiap gerak-gerinya zhohir dan batin. Inilah yang dimaksudkan dengan “engkau ketahui dengan kenyataan ke atasmu” iaitu nyata dalam pengetahuanmu yang tahqiq bahawa Allah itu terlalu hampir dengannya.

“Dan Ainul Basyirah itu iaitu Nurul Ilmu yang memandangkan ia(Nurul Ilmu) akan dikau kepada ketiadaanmu kerana adanya (Allah) hingga tiada engkau lihat bagi dirimu Amal dan tiada hal kerana nazhor(tilik)mu bagi berkehendakmu kepadaNya. ”

Jika kalam hikmah sebelum ini membicarakan tentang “cahaya mata hati”, maka kalam hikmah yang berikutnya pula cuba menyatakan sesuatu yang lebih tinggi dari Nurul Aqliyah itu. Ainul Basyirah atau “mata hati” (tanpa meyebutkan cahaya) adalah merujuk kepada kebolehan dan kemampuan sifat mata hati itu memandang dengan suluhan rahsia cahaya ilmu yang akan melenyapkan pandangan kepada hal dirinya atau amalannya malah tiada pelakuan yang terbit dari dirinya.

Berbeza dengan Nurul Aqliyah(seperti yang dinyatakan dalam kalam hikmah sebelumnya), keyakinannya sekarang memanjat kepada “Nurul Ilmu” atau “cahaya ilmu” iaitu pandangan yang yakin dan tahqiq kerana melihat sendiri akan benarnya Wujud pentadbiran Allah dengan sendiriNya. Pada tahap ini atau maqam Ainul Basyirah ini seseorang itu akan fana dengan perbuatan Allah dan sifat Allah yang menguasai di atas tiap-tiap sesuatu. Mereka tidak melihat amalannya, mereka tidak melihat halnya malah mereka tenggelam dalam musyahadah akan TuhanNya dalam setiap lakuan.

“Dan Haqqul Basyirah itu iaitu Nurul Haq yang menunujukkan kepada hakikat yang diI’tiqadkan yang (dapat) mandangkan ia(Nurul Haq) akan dikau kepada wujudnya (Allah) atas sendirinya dengan tiada Wasitah (pengantara) hingga tiada engkau lihat akan segala yang maujud atas hakikat lain daripadaNya (Allah) tiada ketiadaanmu dan tiada wujudmu dan tiada dunia dan tiada akhirat.
Kalam hikmah selanjutnya adalah memperihalkan tentang sesuatu yang menjadi haq atau hakiki atau puncak kepada Nur yang sebelum ini. Haqqul Basyirah adalah cahaya yang Haq yang kehadirannya akan menjadi satu petunjuk untuk menjejaki hakikat pada segala hakikat sesuatu yang dipercayai dengan ilmu (cahaya mata hati)dan sesuatu yang diyakini dengan penglihatan Ainul Basyirah. Pandangan kepada Haqqul Basyirah ini menjadikan diri seseorang itu kosong(tidak wujud) dan tidak diiktibarkan wujud diri bila berhadapan dengan Wujud Allah yang hakiki atau Wujud Yang Mutlaq atau Wujud Yang Zaati.
Pandangan ini akan menyingkapkan kenyataan hakikat bahawa Wujud Allah itu adalah Wujud yang Qiyamuhu Binafsih(berdiri dengan sendiri) Wujud yang Esa dengan segala sifat-sifat Ketuhanan yang Istiqna (Terkaya daripada sesuatu) dan Iftiqor (berhajat tiap-tiap sesuatu kepadaNya). Kenyataan ini akan menyingkapkan hakikat bahawa tidak ada sesuatu pun yang wujud di Alam ini melainkan Allah jua yang Wujud hatta diri yang memandang sekalipun tenggelam dalam Kewujudan Allah Yang Mutlak ini. Tidak ada wasitah atau dalil untuk yang diperlukan di sini bagi melihat wujud Allah yang hakiki malah segala sesuatu itu akan lebur dan hancur bila berhadapan dengan Haqqul Basyirah ini.

“Telah ada Allah dan tiada sesuatu sertaNya iaitu sekarang atas barang (hal/sifat) yang atasNya telah adaNya dahulu jua tiada serta zaman(masa) dan tiada berkait akan Dia wujud akuan (alam ini) tetapi segala zaman itu Umuru Wahamiah(sangkaan yang waham) tiada wujud baginya (akuan) atas tahqiq dan maksud dan bahawasanya Allah Taala jua tiada suatu sertaNya kerana tetap sendiriNya.

Wujud Allah adalah wujud yang Qidam iaitu sediakala yang tiada permulaan bagi adanya Ia.
Wujudnya juga adalah yang Baqa iaitu kekal yang tiada sut dan kesudahanNya.
Wujud Allah juga Mukholafatuhu lil hawadis iaitu bersalahan dengan sesuatu yang baru (wujud alam ini/akuan) . Wujud Allah adalah wujud yang tidak bertempat, berzaman, berpihak, berjisim dan tidak ada sesautu yang boleh disamakan, dibandingkan atau dikaitkan dengan kewujudannya yang Zaati dan Mutlak. Semuanya itu adalah sangkaan dan waham-waham fikiran khayali sahaja. Malah Wujud Allah adalah Wujud yang Wahdaniah (Esa pada zat, esa pada sifat, esa pada perbuatan dan esa pada nama), Wujud yang terkaya daripada segala sesuatu sama ada kaya Allah daripada berhajat kepada Zat, kaya Allah daripada Fael (sesuatu untuk menjadikanNya) dan kaya daripada Muhkosis (sesuatu untuk menyempurnakanNya).
Allah jua lah yang mempunyai hakikat Wujud yang tidak ada sesuatu sertaNya dan tetap sendirinya dari dengan segala sifatNya Maha Sempurna.

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud;
“Ya Allah, engkaulah Yang Awal yang tidak ada pun sebelumMu; engkaulah Yang Terakhir yang tidak apa pun selepasMu; Engkaulah Yang Zhohir yang tidak ada pun atasMu; Engkaulah Yang Batin yang tidak ada pun di bawahmu”.

Firman Allah dalam Surah Fudhilat ayat 54 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah Maha Meliputi segala-galanya”

Keterangan Mengenai Hati Dan Niat

Ketahui olehmu adalah hati itu terbahagi pada 2 bahagian:

1. Dinamakan hati sanubari

2. Dinamakan hati nurani

Adapun hati sanubari itu hal keadaannya zulmah ertinya gelap tiada menerima sinaran nur atau cahaya ma’rifat, oleh kerana hati sanubari itu tempat dinaungi oleh Syaitan ditakluk dengan nafsu amarah yang sekeji keji dan seburuk buruk nafsu. Ianya termasuk didalam satu dari anggota tubuh badan yang kasar ini yang terletak disebelah kiri didalam dada. Hati sanubari adalah segumpal daging yang berbentuk bulat mamanjang dan mempunya’i tugas tugas tertentu yang didalamnya berongga dan ada terkandung darah hitam.

Hati inilah yang disabdakan oleh Nabi:

‘Inni fi jasadabni adama mudghatan, fa’iza salakhat, jasadu kulluhu. wa iza fasadat, fasadal jasadu kulluhu, ala wahiyal qalbu.’

Sesunggunya didalam tubuh anak Adam ada segumpal daging, maka apabila baik daging itu baiklah seluruh anggota badannya, dan manakala rosak daging itu binasalah seluruh tubuh badannya, ialah hati sanubari dan hati sanubari ini tidak lain melainkan jantung. Maka adalah jantung ini sesuatu yang amat penting bagi kehidupan tubuh badan. Ianya diperolehi pada manusia dan haiwan. Adapun kejadiannya dicipta dari alam nyata atau disebut alam syahadah.

2. Adapun hati yang kedua dinama’i hati nurani. Hati inilah yang dapat menerima sinaran nur ma’rifat dari Tuhan, bahkan ialah yang menerima tajalli Tuhan, menanggung amanah dan rahsia Tuhannya, berpakaian dengan tujuh Sifat Maani. Ianya merupakan haqiqat Insan dan bersifat Ketuhanan. Hati Nurani ini bukanlah kejadian yang dijadikan dari alam nyata, bahkan dicipta ia dari unsur unsur alam ghaib. Oleh kerana itu Hati Nurani ini tiada boleh dilihat dengan mata kasar. Maka hati inilah yang di tuntut hadhir dalam sembahyang, menghadap Tuhannya, memuji dan bermohon kepada Tuhan. Hati Nurani inilah yang disebut Ruh Latifurabbaniyah. atau Hakikat Insan atau juga disebut diri sebenar diri. Oleh kerana ianya merupakan hakikat insan maka dinama’i pula dengan sebutan Insan Hakiki. Dialah semulia mulia dan setinggi tinggi kejadian dan sebaik baik makhluk sebagaimana Firman Allah:

“Laqad khalaknal insana akhsani taqwim” Demi sebaik baik kejadian yang Kami jadikan ialah Insan.

Insan hakiki inilah yang di isyarat oleh Allah dengan firmanNya didalam Hadith Qudsi:

“Al Insanu Sirri Wa ANA sirruhu” Adalah Insan itu rahsiaKu dan Aku rahsianya.

Demikian dengan terang dan tegas sekali dinyatakan oleh Allah. Dengan itu jua bererti ianya menjadi dalil yang nyata bagi wujud Allah, suatu dalil yang paling hampir kepada Allah, dengan dialah dijadikan sebagai jalan yang paling dekat untuk mencapai ma’rifat kepada Allah sebagaimana diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. dengan sabdanya yang begitu jelas dan tegas: “Man arafa nafsahu, fakad arafa rabbahu” Barang siapa mengenal akan dirinya dengan sebenar benar pengenalan, maka telah ia akan Tuhannya.

Didalam Hadith Qudsi pula Allah berfirman:

“Man talaballahu bighairi nafsihi fakad dalla dalalan ba’idan”. Barang siapa menuntut ma’rifat akan Allah dengan barang yang lain dari dirinya sendiri maka telah sesat ia dengan kesesatan yang amat jauh.

FirmanNya lagi dalam Hadith Qudsi:

“Man wasafallahu bisyai in min khalqihi fajad kafar, waman angkara ma wasafallahu bihi binafsidi fakad kafar.”

Barang siapa mensifatkan Allah dengan sesuatu daripada barang yang dijadikan Allah, maka telah kafirlah ia dan barang siapa yang ingkar pada yang telah disifatkan Allah dengannya dengan Zatnya maka telah kufurlah ia.

Ketahui olehmu adalah Hati Nurani atau alam Ruh Latifurr Rabbaniah itu alam latif dan tiada padanya rupa dan warna yang dapat dilihat dengan mata kasar. Tuhan telah menjadikannya terdahulu dari kejadian jasad dua ribu tahun lamanya.

Adapun pada istilah Tahqiq bahawa adalah Ruh itu beberapa namanya,

1. Ruhul Quddus

2. Ruh Idhafi

3. Ruhani

4. Ruhul Hayat

5. Ruhul Amar

6. Ruh Jamadi

7. Ruh Nabati

8. Ruh Haiwani

9. Ruh Insani

10. Ruh Kamalat

11. Ruhul Ajsad

Adapun yang bernama Ruh Nabati ialah tatkala darah yang setitik maka pada alam kabir iaitu segala tumbuh tumbuhan.

Ruh Jamadi itu tatkala daging yang seketul atau segumpal.Maka pada Alam Kabir ialah segala batu batu dan kayu kayan.

Ruhani iaitu tatkala sudah dimasukkan nyawa padanya.

Ruh Haiwani iaitu tatkala berhajat kepada makan dan minum dan jimak, maka pada alam kabir ialah segala binatang.

Ruh Insan iaitu tatkala sudah zahir dari perut ibu.

Ruh Kamalat iaitu tatkala bersuara menangis pada pertama pertama jadi.

Maka adalah perbezaan roh dan nafas itu adalah roh itu batin dan nafas itu zahir. Maka nafas itu adalah kezahiran roh atau kenyataannya yang juga disebut kelakuan atau sifatnya.

Yang demikian tertib Allah s.w.t. yang amat halus pekerjaanNya lagi bijaksana, dengan IradatNya menggerakkan Ruhul Amar dan Ruhul Amar menggerakkan Ruhul Hayat dan Ruhul Hayat menggerakkan Nafas dan Nafas pula menggerakkan Jasad. Maka zahirlah kelakuannya pada Jasad.
Share this article :

0 komentar :

Posting Komentar

SEMUA TULISAN / ARTIKEL DALAM BLOG INI HANYA SEBAGAI BAHAN PELAJARAN ( IHTIBAR ) KARENA ORANG PINTAR ADALAH ORANG YANG MERASA DIRINYA BODOH SEHINGGA TIDAK BERHENTI MEMBACA DAN BELAJAR

 

Copyright © 2014 Nurulhuda Gorontalo - All Rights Reserved

Design By @OnaldBau