TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN TADBIR KARENA APA YANG DIATUR OLEH SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU CAMPUR TANGAN.
Kita bertauhid melalui dua cara, pertama
bertauhid dengan akal dan keduanya bertauhid dengan hati. Bidang akal
ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada
dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada
hujungnya, yaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok,
bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau
penyelesaiannya. Jawaban kepada sesuatu masalah seringkali berubah-ubah
menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada
mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian
orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh
mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang
mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika
persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang
akan menemui kebuntuan karena ilmu tidak mampu mengadakan jawaban yang
konkrit. Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah
membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak
menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa
kepada tunduk dengan iman. Jadi kita harus membimbing diri ke arah itu
agar iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama nafsu dan akal menjadi hijab,
beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri secara menyeluruh tidak
akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib. Perkara
ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat
memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah kegelapan,
bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban. Kegelapan
nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk
melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah
cahaya roh karena roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya
bersinar apabila sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi. (Ayat 35 : Surah an-Nur)
Dialah Yang Maha Tinggi darjat
kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan
kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada sesiapa
yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih
menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang
hari pertemuan, – (Ayat 15 : Surah al-Mu’min)
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu
(wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan
perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan
kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah
iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami
beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah
memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, – Yaitu jalan
Allah yang memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di
bumi. Kepada Allah jualah kembali segala urusan. (Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura)
Apabila cahaya roh berjaya menghalau
kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib. Penyaksian mata
hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dalam firman-Nya :
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi
kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah
ridokan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Ayat 3 : Surah al-Maa’idah)
Umat Islam adalah umat yang paling
bertuah karena Allah s.w.t telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas
mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahwa Dia
reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah
cukup bagi mereka yang menuntut keredaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh
ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut landasan yang
telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang lengkap
mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin.
Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak
dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika
tidak mahu melakukan apa-apa. Segala peraturan dan kode etika sudah
dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada yang paling
besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama manusia,
cara membagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta,
cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban,
cara hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan
mayat dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang
penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala penyelesaian telah
dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu sendiri
nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang
dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk
merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajiban kita ialah melakukan apa
yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir
adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t
yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan
tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah
ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal
sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan
jika penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahwa akal
telah tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk
kepada akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi
tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan
berubah sampai bila-bila.
Orang yang mengamalkan tuntutan Islam
disertai dengan beriman kepada Qadak dan Qadar, jiwanya akan sentiasa
tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak membolak-balikkan hatinya
karena dia melihat apa yang berlaku adalah menurut apa yang mesti
berlaku. Dia pula mengamalkan aturan yang terbaik dan dijamin oleh Allah
s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahwa Allah s.w.t yang mentadbir
sementara sekalian hamba berkewajiban taat kepada-Nya, tidak perlu masuk
campur dalam urusan-Nya.
Mungkin timbul pertanyaan apakah orang
Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh mentadbir
kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah
orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir ?
Allah s.w.t menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa
tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang saudara
kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu
dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan
rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat
mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika
dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan
pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang
berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf)
Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan)
Nabi Yusuf a.s, dengan kepandaiannya,
mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin, tinggal
dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi
Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur
muslihat tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada
zahirnya dibina oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan
kapal itu adalah kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran
mengenai tadbir yang dilakukan oleh manusia.
Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan
agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan mereka. Tadbir
yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan
hubungan dengan Allah s.w.t, tidak beranjak dari tawakal dan penyerahan
kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah
seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka
otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana
datangnya ilham yang diperoleh oleh otak itu jika tidak dari Tuhan?
Allah s.w.t yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang
mendatangkan buah fikiran kepada otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh
Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah.
Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat dan
tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahwa sekiranya
tidak karena daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang
dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah
menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya
menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak
sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha
Mengatur. Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka
dia akui bahwa kejayaan itu adalah karena persesuaian aturannya dengan
aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya
bahwa aturannya wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi
itu juga termasuk di dalam tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang
berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada
sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan-Nya.
0 komentar :
Posting Komentar